Google
 

Saturday, May 17, 2008

Jasamu Guru Tidak Ternilai

Penulis merasakan masih belum terlambat untuk penulis mengucapkan Selamat Hari Guru kepada guru-guru yang banyak membantu penulis sehingga penulis berjaya menjadi manusia seperti sekarang. Kelambatan penulis mengucapkan Selamat Hari Guru bukan bermakna penulis tidak menghargai jasa guru tetapi oleh kerana kesuntukkan masa jadi tidaklah dapat penulis menyatakan selamat hari guru pada 16 Mei baru-baru ini, tiga hari selepas peristiwa berdarah 13 Mei yang penuh sejarah melanda negara. walaupun ada sedikit kelambatan namun kata orang 'Better late than never'.

Jasa Guru Tidak Ternilai

Memang jasa guru tidak ternilai, guru umpama lilin membakar diri menerangi dan memberi cahaya untuk keselesaan dan kesenangan hidup orang lain. Begitu besar pergorbanan seorang insan yang bergelar guru. Guru yang paling sanjungi ialah guru Matapelajaran Sejarah kerana dia banyak mengajar erti kemerdekaan, belajar daripada peristiwa yang terjadi di dalam sejarah yang lepas untuk memastikan 'pisang tak buah dua kali' walaupun ada manusia yang ada di Malaysia pada hari ini cuba mengubah sejarah, namun penulis tetap berpegang kepada sejarah yang telah tertulis. Di dalam kita memandu laju ke hadapan, kadang-kadang kita perlu juga menoleh ke belakang untuk memastikan keselematan kenderaan kita daripada apa-apa kemungkinan yang mungkin akan datang daripada belakang.

Sedih juga penulis mengenang nasib guru-guru yang ada pada hari ini, yang 'menitiskan peluh' untuk memastikan anak bangsa berjaya semakin tidak dihormati malah dianiya oleh ibu-bapa yang kononya 'terpelajar' kerana mereka terlampau sayangkan anak lebih daripada segala-gala. Perit getir perjuangan seorang insan yang bernama guru seakan-akan tidak lagi penting asalkan anak mereka tidak di apa-apakan walaupun anak-anak mereka melakukan kesalahan yang besar. Jika dahulu golongan guru amat dihormati dan diutamakan tiada ibu-bapa yang mengikut telunjuk anak mereka, malah sekiranya si anak memberitahu kepada si bapanya yang beliau di rotan guru, si bapa itu akan menambahkan lagi bilangan rotan kepada anaknya tetapi sekarang sudah lain.

'Lilin Membakar Diri' memang sinonim dengan guru, penulis akui tanpa perjuangan seorang guru tidak akan lahir seorang Pejuang Kemerdekaan Tanah Air seperti Dato Onn dan Tengku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Tanpa 'titik peluh' guru tidak akan lahir pemimpin ulung yang disegani dunia seperti ayahnda Tun Dr. Mahathir. Tanpa keringat seorang insan yang bergelar guru tidak akan lahir seorang Putera Raja berjiwa rakyat seperti Tengku Razaleigh. Tanpa kebijaksanaan seorang guru tidak akan lahir Ulama' terbilang seperti Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang disanjung tinggi di Kelantan.

Jerit payah seorang insan bergelar guru hanyalah mereka sahaja yang tahu, tetapi masyarakat kita pada hari ini sudah tidak lagi memandang tinggi peranan yang ditonjolkan dan sumbangan seorang guru kepada masyarakat sebaliknya masyarakat menjadikan guru seolah-olah musuh mereka 'silap sikit' jawapanya 'see you on court', silap sikit lagi 'i will sue you' itulah mentaliti masyarakat kita yang majoritinya berada di bandar, yang kononya lebih terpelajar.

Perjuangan seorang guru pada hari ini sudah tidak dimartabatkan lagi, bagi mereka kerajaan sudah bagi gaji jadi tak perlulah menghargai perjuangan mereka kerana perjuangan mereka tidak ikhlas, penulis ingin menyangkal dakwaan ini kerana keikhlasan bukanlah perkara yang dapat didedahkan kerana sekiranya didedahkan ianya sudah menjadi tidak ikhlas. Sebagai contoh ada satu cerita seorang hamba Allah yang membantu seorang insan yang pancit tayar keretanya dan setelah selesai insan ini bertanya kepada hamba Allah itu "Terima Kasih kerana membantu, berapakah upahnya" lalu hamba Allah itu menjawab "Saya Ikhlas" lalu insan itu menjawab "Terima kasih di atas pertolongan ikhlas saudara" selang beberapa saat selepas insan itu beransur-ansur untuk bergerak, Hamba Allah tadi memanggilnya dan berkata "Saya cakap tadi Ikhlas lah saudara nak bagi berapa upah kat saya" Inilah jadinya sekiranya keikhlasan didedahkan. Bagi saya Kerajaan memberi gaji kepada guru sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada guru yang sanggup membakar diri demi menjaga anak bangsa dan kejayaan anak bangsa memberikan kepuasan kepada kehidupan seorang guru.

Penulis berharap selepas ini tiada lagi masyarakat yang merendah-rendahkan martabat seorang guru, kerana pengorbanan seorang guru memang besar dan tidak keterlaluan kalau penulis katakan pergorbanan seorang guru umpama mengorbankan diri sendiri demi kesejahteraan orang lain. Akhir kalam, semoga guru di seluruh negara kembali dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia.

Di bawah ini penulis selitkan Video Muzik Dikir Barat yang bertajuk jasamu cikgu nyanyian Cikgu Sulizi untuk tatapan semua masyarakat Malaysia:

No comments: