Google
 

Monday, May 26, 2008

Ku Li Harap Dapat Regu Daripada Sabah

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sedia bergandingan dengan pemimpin Umno dari Sabah untuk merebut dua jawatan tertinggi pada pemilihan pucuk pimpinan parti, Disember ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata, dengan adanya pemimpin dari Sabah menduduki jawatan lebih tinggi dalam hiraki parti, pelbagai masalah dibangkitkan rakyat negeri itu akan dapat ditangani secara lebih berkesan.

"Tidak salah jika ahli Umno Sabah dicadangkan bagi jawatan lebih tinggi daripada MT, hatta ke kerusi nombor dua (Timbalan Presiden) sekali pun. Jika pemimpin dari Sabah dapat mengisi kedudukan tinggi dalam parti, saya yakin banyak masalah negeri ini dapat diatasi.

"Saya sedia menerima siapa saja (sebagai gandingan) dan saya sudah pun mengenal pasti tokoh sesuai dari Sabah, tetapi kerana tidak mahu bersikap prejudis, maka biarlah ahli Umno Sabah sendiri menilai dan memilihnya.

"Mesej saya kepada semua ahli Umno ialah mari kita bawa perubahan," katanya selepas menghadiri Majlis Salam Mesra Bersama Akar Umbi Sabah di Pacific Sutera Harbour Resort, di sini, malam kelmarin. Majlis selama kira-kira dua jam itu dihadiri veteran Umno, pemimpin peringkat bahagian dan cawangan Umno negeri.

Tengku Razaleigh berkata, beliau juga akan bersikap terbuka untuk bergandingan dengan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, tetapi menegaskan adalah lebih baik dan berkesan jika gandingannya itu adalah wakil Sabah supaya lebih perhatian dapat diberi kepada negeri itu.

Ditanya mengenai keyakinannya mendapat jumlah pencalonan mencukupi untuk melayakkannya bertanding merebut jawatan Presiden Umno, beliau secara berseloroh menjawab: "Saya yakin, seperti mana anda (wartawan) juga".

Mengikut sistem kuota Umno, individu yang ingin bertanding jawatan Presiden parti hanya layak berbuat demikian jika mendapat sekurang-kurangnya 30 peratus pencalonan daripada 191 bahagian sedia ada atau minimum 58. Sabah mempunyai 25 bahagian Umno.

Mengulas tiada seorang pun ketua bahagian Umno menghadiri perjumpaan malam kelmarin, Tengku Razaleigh berkata: "Mereka terlalu sibuk untuk menemui saya... masing-masing ada hal sendiri, maka saya jumpa dengan ketua cawangan sajalah".

Bagaimanapun, difahamkan ketua bahagian tidak diundang ke majlis berkenaan.

Terdahulu ketika berucap selama 25 minit, Tengku Razaleigh antara lain membangkitkan isu royalti minyak dan mendakwa Sabah tidak menerima pembahagian yang adil.

"Perhitungan yang dibuat mereka di Kuala Lumpur tidak betul dan tidak adil... mereka tidak faham keadaan di Sabah. Saya tengok rakyat Sabah dan Kelantan ada persamaannya kerana mereka berani tukar kerajaan beberapa kali.

"Saya datang sini bukan sekadar mahukan saudara tepuk tangan, tetapi saya mahukan pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden Umno. Saya dah kata rakyat Sabah berani, maka buktikanlah kerana masalah di Sabah boleh diselesaikan jika rakyatnya mahu ia diselesaikan," katanya.

Dalam sesi dialog selepas itu, Tengku Razaleigh ketika ditanya mengenai perancangannya jika gagal mendapat jumlah pencalonan mencukupi bagi bertanding merebut jawatan Presiden berkata:

"Saya beli tiket pergi Makkah, buat umrah. Jika orang tak nak perubahan, buat apa saya nak sakit kepala.

"Bagaimanapun saya berjanji, demi Allah... apa yang saya suarakan akan saya tunaikan. Saya sudah 71 tahun, jika saya mati lepas itu masuk nerakalah saya kerana tidak tunaikan janji kepada saudara semua."

No comments: