Google
 

Thursday, April 17, 2008

Kenapa Mahasiswa IPTA mengalami masalah kewangan?

Pada artikel kali ini penulis ingin mengetengahkan sesuatu perkara yang menjadi isu dan perbualan hangat di kalangan mahasiswa IPTA seluruh negara. Masalah yang menghantui Mahasiswa IPTA ini ialah masalah yang berkaitan dengan kewangan. Akhir-akhir ini kita banyak mendengar mahasiswa yang terjebak dengan anasir-anasir tidak bermoral semata-mata untuk mendapatkan wang menampung pengajian mereka, ya itulah yang kerap kita dengar apabila seseorang mahasiswa ditangkap kerana membuat kerja tak bermoral dengan alasan masalah kewangan dan boleh dikatakan hampir 100% Mahasiswa yang ditangkap kerana membuat kerja tidak bermoral akan memberi alasan masalah kewangan. Jadi oleh yang demikian apa kata penulis 'meneroka sedikit' masalah ini yang menjadi 'duri dalam daging' Mahasiswa IPTA.

Persoalanya adakah benar-benar Mahasiswa IPTA mengalami masalah kewangan seperti yang diwar-warkan oleh mereka? Pertama sekali kita cuba bandingkan yuran pengajian di IPTA dengan yuran pengajian di IPTS. Yuran pengajian IPTS lima kali ganda lebih tinggi daripada IPTA. Jadi untuk perbandingan pertama jelas sekali yuran pengajian bukan menjadi punca kepada masalah kewangan Mahasiswa IPTA.

Setelah kita melihat dari segi yuran pengajian, kita lihat pula daripada pinjaman pengajian yang diterima oleh Mahasiswa IPTA dengan Mahasiswa IPTS. Daripada kaji selidik yang penulis buat mendapati bahawa Mahasiswa IPTS mendapat pinjaman KURANG DARI jumlah yuran pengajian. Manakala Mahasiswa IPTA pula mendapat pinjaman LEBIH DARI jumlah yuran pengajian, ini membuktikan bukan pinjaman menjadi punca masalah kewangan mereka.

Sebelum itu, penulis ingin tegaskan di sini bukan 100% mahasiswa IPTS datang daripada keluarga berada malahan golongan mahasiswa IPTS yang datang daripada keluarga berada ialah tidak lebih daripada 20%. Jadi majoriti mahasiswa IPTS datang dari keluarga sederhana dan juga berpendapatan rendah.

Kita lihat pula perbelanjaan mahasiswa IPTA dengan IPTS. Mahasiswa IPTA memang mewah berbelanja dapat saja pinjaman, handphone baru, motor baru, kereta baru dan lain-lain yang baru yang tidak ada kena mengena dengan pengajian di beli. Mahasiswa IPTS pula dapat pinjaman tak boleh nak buat apa-apa sebab pinjaman mereka pun tak cukup untuk menampung yuran pengajian mereka.

Jelas sekali, masalah kewangan yang berlaku di kalangan Mahasiswa IPTA ialah berpunca daripada sikap mereka sendiri yang boros berbelanja mengikut hawa nafsu sehinggakan perbelanjaan melebihi pendapatan.

Selain itu, mereka juga terlibat dengan banyak aktiviti luar yang langsung tidak memberi faedah kepada mereka seperti menyertai demonstrasi jalanan, demonstrasi dalam kampus, melancong, kelab-kelab hiburan dengan menghadiri majlis-majlis, program-program seperti yang disebutkan juga menyebabkan 'kantung kewangan' mahasiswa menjadi bocor memandangkan program seumpama itu memerlukan sumber kewangan seperti nak minum pun kena keluarkan duit.

Kesimpulanya, mahasiswa IPTA perlu mengubah cara hidup mereka agar masalah kewangan tidak menjadi 'hantu' sepanjang mereka melanjutkan pengajian di IPTA. Fikir-fikirkanlah.

No comments: